Siapa Yang Mengikutku?

Wednesday, March 16, 2011

Kakak I


Kakak merupakan kata nama am. Kakak juga merupakan sistem panggilan dalam instusi keluarga. Dalam institusi keluarga, kakak merupakan paling tua. Namun, jika merujuk pada situasi yang saya alami, panggilan ‘kakak’ oleh seseorang yang lebih berusia daripada kita adalah bertentangan dengan hierarki dalam institusi keluarga. Hal ini berlaku pada diri saya sendiri. Kisahnya berlaku antara saya dan pemandu kereta sapu.  Pemandu kereta sapu tersebut saya kenal semenjak dari tahun pertama saya menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Saya memanggil pemandu kereta sapu tersebut, Uncle Raju, iaitu berbangsa India. Uncle Raju pula memanggil saya dengan panggilan ‘kakak’. Secara logiknya, Uncle Raju lebih berusia daripada saya, jadi kebarangkalian dia memanggil sama ada nama saya atau ‘cik’ atau ‘adik’. Namun, sebaliknya berlaku, iaitu Uncle Raju memanggil saya dengan panggilan ‘kakak’.


                Uncle Raju :  ‘Kakak’ hendak ke mana?
                Saya: Uncle, saya hendak ke pekan.

Melalui dialog di atas, jelas menunjukkan saya dengan Uncle Raju mempunyai pertentangan dalam sistem panggilan. Saya mendapat tahu bahawa Uncle Raju tidak bersekolah dan buta huruf. Saya menganggak bahawa Uncle Raju menggunakan panggilan ‘kakak’ atau ‘abang’ pada setiap penumpangnya sebagai tanda hormat dan sopan. Saya mengagumi sikap Uncle Raju yang ramah dan mengutamakan adab pekerti. Saya sebagai guru bahasa Melayu membetulkan pemahaman Uncle Raju. Uncle Raju memahami konsep ‘kakak’, namun beliau masih mgunakan atau mengekalkan panggilan ‘kakak’ dan ‘abang’. Uncle Raju menyatakan bahawa dia telah biasa menggunakan  panggilan tersebut. Namun, Uncle Raju telah mengetahui konteks penggunaan ‘kakak’ dan ‘abang’ yang sebetulnya walaupun masih mengekalkan panggilan tersebut kepada penumpangnya. Oleh itu, saya sebagai guru mengambil iktibar bagi memperbetul konsep sistem panggilan ini, lebih-lebih lagi dalam kalangan masyarakat bukan Melayu bagi mengelakkan kekeliruan sekaligus melestarikan kesopanan dan peradapan semasa berkomunikasi dengan orang lain.

Tuesday, March 15, 2011

Tidak baik

Pada semester ini, saya mendaftar kursus Karya Agung. Kursus Karya Agung ini  diajar oleh Profesor Emeritus Abdullah Hassan. Beliau banyak memberi input, yang tidak pernah pun kami tahu. Oleh sebab itulah beliau selalu menyatakan pernyataan bahawa kami begitu kasihan kerana kurang ilmunya. Begitu juga beliau mempersoalkan frasa isi kandungan dan  ilmu pengetahuan. Beliau menyatakan bahawa kedua-dua perkataan dalam satu frasa tersebut adalah sama iaitu membawa unsur lewah. Jadi, melalui pernyataan tersebut, kita perlu menggunakan salah satu daripadanya dan adalah satu kesalahan jika kita mengguna kedua-duanya. Beliau pernah menegur bahawa perbuatan tanpa kawalan kita. Umpamanya:

Aaahh?? ( Perbuatan ini merujuk kepada perbuatan terkejut atau hairan)

Prof. Abdullah Hassan menyatakan bahawa perbuatan tersebut merupakan tabiat tidak baik dan kurang sopan. Begitu juga ketika menguap. Saya pernah ditegur oleh beliau kerana tidak menutup mulut. Saya mengakui bahawa tidak menutup mulut dengan tangan dan membiarkan mulut saya terbentang luas. Beliau amat menekankan kesantunan walaupun tidak berkaitan dengan subjek kursus. Beliau juga selalu menegur cara kami bercakap dan berbahasa. Beliau bertindak tegas dalam memperbaik gaya penyampaian bahasa kami   . Pernah sekali kawan saya ditegur bahasanya ketika kawan saya disuruh mengambil gambar. Kawan saya ketika itu menyebut ' Ready?One Two Three' ketika dia mengambil gambar kami. Prof. Abdullah lalu menegur kawan saya tersebut dan menyuruhnya menukarkan penyataannya dalam bahasa Melayu. Kawan saya pun membetulkan bahasanya 'Sedia? Satu Dua Tiga". Walaupun berunsur lelucon, tetapi mesej tersirat yang terkandung dalam pernyataannya membawa mesej yang sangat bermakna. Walaupun kita pandai berbahasa, tetapi kesantunan dan kesopanan perlu juga diambil kira. Kita seharusnya memartabatkan bahasa kita manakala memperkasakan bahasa lain. 

Kecelaruan Kekelirun

Kecelaruan atau kekeliruan berlaku apabila terdapat dua perkara yang mengetengah perkara yang sama tetapi berlainan dari aspek konteks dan makna. Pada suatu ketika, saya menyemak kerja rumah adik saya. Ketika membelek buku bahasa Melayu adik saya, saya mendapati terdapat kesalahan pada penggunaan kata yang memiliki makna yang sama tetapi berbeza dari aspek penggunaan yang bergantung kepada situasi dan konteks ayat. Berikut merupakan kesalahan pembinaan ayat yang telah dilakukan oleh adik saya:
i)                    *Kucing peliharaannya telah hamil. ( Salah )
Kucing peliharaannya telah bunting. ( Betul )
 
ii)                * Ali tidak dapat menghadiri perjumpaan kita pada hari ini kerana dia tidak henti-henti berak. 
           ( Salah )
Ali tidak dapat menghadiri perjumpaan kita pada hari ini kerana dia tidak henti-henti buang air besar. ( Betul )

Berdasarkan pembinaan ayat, adik saya menghadapi kekeliruan dalam penggunaan perkataan yang membawa makna yang sama tetapi perbezaan penggunaannya dalam ayat. Betapa payahnya saya mengajar dalam usaha membetulkan pemahamannya akan perbezaan penggunaan perkataan tersebut. Bayangkan jika adik saya berkomunikasi dengan orang lain dengan menyatakan “perempuan tua itu bunting”. Hal ini boleh menyebabkan seseorang rasa terhina dan terasa diperkotak-katikkan. Penggunaan perkataan yang tidak sesuai dengan situasi boleh menimbulkan sensitiviti pihak lain. Oleh sebab itu, kita sebagai guru bahasa Melayu tidak harus memandang remeh akan perkara seumpama ini. Realitinya, niat kita untuk menambahkan ilmu pengetahuan pelajar merupakan niat baik dan murni, bagi mengelakkan penyimpangan pemahaman pelajar kita memandangkan terdapat perkataan bahasa Melayu banyak makna tetapi penggunaannya dalam ayat adalah terikat dan mengikut konteks.

Monday, March 14, 2011

Saya Bukan Melayu mahupun Cina

Jangan menilai seseorang dari luarannya sahaja. Ke mana-mana sahaja saya pergi, orang luar sering kali meragui identiti saya. Setiap kali saya berjalan keseorangan, jalan-jalan makan angin atau membeli-belah, ada sahaja orang lain salah faham tidak kira di mana saya berada. Orang selalu menganggap saya perempuan berdarah Cina. Kadang-kadang orang memanggil saya ‘amoi’ (cik). Saya hanya tersenyum tidak terkata. Ada juga orang berkomunikasi dengan saya dalam Mandarin. Saya sememangnya akan membalas teguran dan petanyaan orang, tetapi bukan dalam bahasa mereka. Emak saya berkata tidak baik jika membiarkan mereka tertanya atau tidak menjawab balik percakapan mereka, kerana kita sebagai manusia hendaklah beradat dan berbudi bahasa tanpa mengira bangsa, standard mahupun warna kulit. Maka saya hanya menjawab dengan mengatakan bahawa saya tidak pandai berbahasa Cina dan bukan berdarah Cina sekalipun. Ada pula antara mereka tidak tahu berbahasa Melayu, maka saya pun akan menggunakan bahasa Inggeris bagi pemahaman yang mudah untuk mereka. Tidak pernah sekalipun orang tidak bertanya. Alahai, muka saya ala kecinaan. Pernah juga orang di tempat saya beranggaan bahawa saya merupakan anak angkat emak saya. Oleh disebabkan muka saya kecinaan dan ada juga yang mengatakan bahawa muka saya seperti orang Jepun. Sememangnya lucu dan tidak pernah saya  terfikir tanggapan orang terhadap saya. Ada kalanya jika tanggapan mereka salah, mereka secara automatik beranggapan bahawa saya orang Melayu. Macam-macam tanggapan yang saya terima. Namun, saya menerima tanggapan tersebut dengan redha walaupun kadang-kadang saya berasa rimas. Begitu juga, apabila orang bertanya kursus yang saya ambil untuk pengajian di UPSI. Semua orang yang bertanya terkejut dan berasa sangat kagum apabila saya menyatakan bahawa saya mengambil Pendidikan Bahasa Melayu dan juga fasih berbahasa Melayu. Sememangnya tidak salah kita mempelajari bahasa orang lain dalam menambahkan pengetahuan di samping mengukuhkan hubungan sosial dengan pelbagai latar belakang manusia. Dalam entri ini juga menuntut saya supaya berfikiran terbuka dan berbudi bahasa dengan orang. Jagalah bahasa ketika berkomunikasi dengan orang walaupun ada ketika orang salah tanggapan terhadap kita. Bahasa cerminan budaya.

Apabila Geng Bertemu..

Dengan izin saya menggunakan istilah 'geng keras' bagi merujuk kepada kawan rapat. Sepanjang tiga tahun setengah saya menuntut ilmu di Universiti Pendidikan Sultan Idris, antara geng keras saya yang sentiasa bersama dengan saya ialah Atul, Liza, Pei, Bie, Fawez, dan Fariz, lebih-lebih lagi dengan geng perempuan saya iaitu, Atul, Liza, Pei dan Bie. Setiap kali kami bersama, ada saja cerita dan celoteh terlontar sehingga membingitkan suasana kampus dan kuliah. Pada pagi tadi, kami terdengar rungutan seorang pelajar perempuan yang sama menggunakan tandas dengan kami. "Bisingnya mereka ni". Mana tidaknya, kami ketawa terbahak-bahak di dalam tandas tersebut. Yang pasti, kami tidak membuli atau mengutuk perempuan tersebut. Apabila geng keras bertemu antara satu sama lain, pastinya kecoh dan kebisingan. Apabila kami bertemu, kami pastinya berkomunikasi dalam bahasa Melayu Sarawak kerana kami merupakan orang Sarawak, kecuali Liza. Walau bagaimanapun, Liza kini mengerti apa yang kami perkatakan dalam Melayu Sarawak, dan tahu berkomunikasi dalam Melayu Sarawak walaupun tidak seberapa fasih. Walaupun kawan saya merupakan orang Perak dan orang Kelantan, mereka masih berkawan dengan geng Sarawak. Kadang-kadang, mereka ; Liza, Fariz dan Fawez dikatakan 'murtad', kerana jarang bergaul campur dengan geng senegeri, tetapi sebaliknya berkawan dengan geng Sarawak.  Kami sekawan sememangnya mempelajari bahasa sesama kami, dan pada masa tertentu kami akan memvariasikan bahasa ; bahasa melayu standard, dialek Perak, dialek Kelantan ; dialek Sabah. Walaupun tidak seberapa fasih dalam bahasa lain, kami masih mampu untuk memahami apa yang diperkatakan oleh kawan-kawan. Apabila geng bertemu, semua bahasa divariasikan, di samping 'memeriahkan' suasana dan kebingitan dengan pelbagai celoteh dan ragam. Melalui persahabatan ini yang terdiri daripada beberapa gabungan negeri, saya dapat memahami istilah dan kosa kata yang terdapat di luar lingkungan bahasa saya walaupun tahap kefasihan saya dalam bahasa lain agak memuaskan. Yang penting bagi saya, pemahaman terhadap bahasa orang lain, di samping itu, melalui bahasalah hubungan saya dan kawan saya bertambah erat. 


Dari kiri : Bie, Qriz, Liza, Atul , Apei (tiada ketika ini kerana berada di dalam kelas)


Apei memegang telefon bimbit.



Dari kiri: Apei, Liza, Mojahid, Qriz, Fazil, Fawez 

Sunday, March 13, 2011

Hantu Kak Limah Balik Rumah

              Siapa yang tidak pernah tengok cerita Hantu Kak Limah Balik Kampung? Semestinya cerita ini banyak mendapat sambutan ramai daripada rakyat Malaysia termasuklah saya. Pada mulanya, saya beranggapan bahawa cerita ini mengisahkan hantu pontianak atau cerita hantu yang paling ngeri dan menyeramkan setakat ini. Setelah saya menonton cerita ini, baru saya mengetahui bahawa sebenarnya cerita ini rupanya cerita kak Limah yang mengalami sakit mental yang disangka orang kampung Kampung Pisang seorang hantu. Cerita Hantu Kak Limah balik rumha merupakan kesinambungan Zombi Kampung Pisang yang berkonsepkan komedi seram.
         
         Husin yang telah lama bekerja di Singapura mengambil keputusan balik ke kampung halamannya, Kampung Pisang. Apabila pulang ke rumahnya, Husin hairan melihat perangai pelik jiran sebelah rumahnya,
Kak Limah yang langsung tidak bercakap dan rambut yang mengerbang semacam. Dia juga mengalami kejadian menakutkan ketika mahu tidur. Husin bergegas ke warung Pak Munawer, lalu menceritakan kepada orang-orang kampung yang mungkin Kak Limah sudah menjadi hantu. Antara mesej yang saya suka dalam filem ini ialah penduduk kampung mula sedar akan kepentingan kepimpinan muda untuk menerajui kepimpinan Kampung Pisang dan kesatuan jiran tetangga dalam membantu menyelesaikan masalah dan mengambil berat antara satu sama lain. Sememangnya tidak sia-sia kita menonton filem Hantu Kak Limah balik kampung kerana menggarapkan banyak mesej dan dan falsafah positif kepada penonton dalam realiti kehidupan sebenar.

          Cerita ini secara tidak langsung memperngaruhi budaya dan komunikasi penonton dalam dunia realiti, tidak ketinggalan kawan-kawan saya. Setiap perbualan pasti ada pengaruh dialog salah seorang watak dalam cerita Hantu Kak Limah balik kampung. Momentum pengaruh cerita ini begitu kuat sehinggakan kawan-kawan saya membudayakan watak dalam kehidupan seharian. Antaranya, 'sabo je la', bako bako (bakar bakar) tidak kira dalam mana-mana situasi, sehingga ada juga pensyarah yang membudayakannya sebagai bahan bantu mengajar. Ada pro dan kontra ikutan seumpama ini dalam kehidupan seharian. Kita sebagai manusia yang mempunyai pertimbangan dan kewarasan fikiran haruslah tahu menilai yang baik dan buruk. Ambil yang jernih, buang yang keruh.


           
            






Kecelaruan Identiti

          Sesungguhnya manusia memang sukar untuk difahami. Macam-macam ragam manusia di muka bumi ini. Ceritera seterusnya berkenaan seseorang yang mengalami 'kecelaruan identiti'. Sememang memang ada unsur lelucon dalam ceritera kali ini. Perubahan yang berlaku dalam kehidupan seseorang  tidak akan mengubah apa-apa yang berkaitan dengan dirinya, baik asal-usulnya mahupun bahasa ibundanya. Siapa menduga seseorang itu tidak mampu mengubah budayanya walaupun perubahan pada bahasanya. 

         Senario ini berlaku di Sarawak, iaitu pada waktu cuti semester. Kami mengadakan perjumpaan semula bersama rakan-rakan sekolah menengah. Pada perjumpaan itu, saya mendapati bahawa setiap kawan saya telah banyak mengalam perubahan, terutamanya dari segi fizikal. Masing-masing menceritakan pengalaman masing-masing. Ada yang melanjutkan pelajaran ke menara gading, ada juga yang bekerja. Salah seorang kawan saya telah bekerja di perantauan orang, iaitu di Capetown. Ketika saya bersembang dengannya, memang jelas kawan saya tersebut telah banyak berubah. 

        Perkara yang paling mengejutkan saya, kawan saya pandai berbahasa Inggeris semenjak bekerja di sana. Dahulu, semasa kami bersekolah, kawan saya ini tidak pandai berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Persekitaran tempatnya bekerja menyebabkannya pandai berbahasa Inggeris. Intonasi dan gaya penyampaiannya semasa bersembang dengan saya,  jelas menunjukkan pengaruh bahasa Inggeris yang kuat dalam komunikasinya. Beliau kerapkali tersasul apabila menyebut perkataan bahasa Melayu. Betapa kuatnya pengaruh bahasa Inggeris sehingga menyebabnya terencat dalam percakapannya; terlalu banyak hentian. 

         Oleh sebab kawan saya terlalu lama bermastautin di Capetown, menyebabkan pengucapannya teragak-agak kerana terlalu banyak terpengaruh oleh bahasa Inggeris. Orang sekeliling pun selalu  beranggapan bahawa kawan saya bukan orang tempatan kerana bahasanya. Orang lain celaru dengan identiti dengan kawan saya sama ada orang tempatan atau orang luar. Susah juga terlalu lama mendiami sesuatu tempat yang bukan dalam kawasan bahasa sejagat, lama-kelamaan komunikasi dan cara hidup kita akan mengalami asimilasi sehinggalah menimbulkan kecelaruan. Iman kenalah teguh. Sedaya upayalah memartabatkan bahasa kita agar tidak hilang begitu sahaja. Tidaklah kita lagi dijajah oleh bahasa asing. Kita memiliki bahasa dan identiti. Bahasa itu menampakkan keagungan dan kehormatan manusia yang memilikinya.

Hanya Kerana Swasta

Bahasa bukan hanya wujud dalam patah kata semata-mata. Bahasa juga boleh dideskriptifkan dalam bentuk wacana tulisan. Dengan erti kata lain, bahasa boleh terdapat dalam bentuk tulisan yang terdiri daripada susunan huruf menjadi kata, susunan kata menjadi frasa, susunan frasa menjadi klausa, seterusnya menghasilkan satu wacana. 
          Pada setiap bulan, saya akan menerima beberapa memo atau flyer yang berbentuk hebahan. Kebanyakan memo atau hebahan yang dihantar oleh pengurusan perumahan Bahtera, tempat saya menyewa rumah. Pada suatu hari, saya ternampak memo di lantai berdekatan dengan pintu rumah saya. setiap kali saya membaca kandungan memo yang saya terima, sememangnya terdapat banyak kesalahan tatabahasa. Perkara yang paling menyedihkan saya, terdapat penggunaan bahasa Inggeris yang tiada berdaftar pun dalam mana-mana perkamusan Melayu di Malaysia. Banyak kesalahan ejaan seperti tanggongjawab, kebanyakkan, disini. Begitu juga penggunaan bahasa Inggeris, dan ada juga penggunaan bahasa Inggeris yang mentah-mentah diterjemah sesuka hati. Contohnya seperti yang terdapat di dalam memo yang saya terima di bawah:



 Berdasarkan memo di atas, terdapat banyak kesalahan : penggunaan imbuhan di (di tutup, di layan). 
Penggunaan bahasa Inggeris : teres - terrace, burn

               Hanya disebabkan pengurusan perumahan tersebut merupakan swasta, bukan kerajaan atau awam, penggunaan bahasa, format memo mahupun tatabahasa tidak dituruti dalam konteks urusan rasmi memandangkan bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi. Bagi organisasi swasta, mereka tidak terikat dengan penggunaan bahasa Melayu kerana berpendapat bahawa bahasa Inggeris lebih relevan dan formal dalam konteks urusan rasmi berbanding bahasa Melayu. Saya cuma terfikir, kita mendiami negara Malaysia. Maka, kita seharusnya menghormati budaya Malaysia, terutamanya dari segi bahasa. Sudah tersurat dan termaktub dalam Perlembagaan, Perkara 152 dan Akta Bahasa Kebangsaan, Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Bahasa cerminan bangsa. Utamakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa utama, bukan bermakna menghapuskan penggunaan bahasa Inggeris, tetapi eloklah penggunaan bahasa Inggeris menjadi bahasa kedua. Keberlangsungan penyelewengan terhadap bahasa Melayu merupakan suatu penghinaan standard bahasa kita yang menjadi kebanggaan dan persetujuan rakyat Malaysia.