Siapa Yang Mengikutku?

Monday, January 24, 2011

Keliru atau Takut atau Malu atau Langsung Tidak Tahu?


Apabila keliru, dahi berkerut

Kebiasaannya, kita akan memberi salam mahupun bertanyakan khabar sekiranya kita terserempak atau terjumpa dengan mana-mana kenalan, mahupun orang yang kita kenal sebagai tanda keakraban atau apa yang lebih penting lagi sebagai tanda hormat. Bak kata pepatah, budi bahasa budaya kita.
Saya tahu bahawa menegur seseorang, sama ada memberi salam mahupun bertanya khabar adalah satu cara kita mengambil berat dan menghormati orang lain. Selalunya saya sememangnya akan menyapa orang yang saya kenali walau hanya mengucapkan selamat pagi sahaja (bergantung pada keadaan sama ada pagi, tengah hari, petang mahupun malam). Paling tidak pun, saya akan memberi senyuman kepada orang tersebut.
Namun, terus terang saya katakan, saya jarang menegur mahupun menyapa pensyarah di fakulti, terutamanya di fakulti bahasa. Salah satu sebabnya, saya langsung tidak mengenali sebilangan pensyarah di fakulti saya. Ada bisikan hati mendorong saya untuk menegur dan memberi salam tetapi saya malu dan paling menyedihkan, saya langsung tidak tahu-menahu tentang jawatan dan gelaran yang disandang oleh mereka. Oleh sebab itulah, saya kecelaruan membuat keputusan untuk bertindak.
Pernah sekali saya terdengar perbualan antara pensyarah fakulti saya yang menyatakan bahawa kelakuan pelajar-pelajar yang bagi kurang beradap semasa berurusan dan berulang-alik di fakulti yang langsung tidak menegur pensyarah dan mengambil langkah buat tidak tahu atau tidak ambil kisah. Untuk pengetahuan, salah satu sebab yang paling utama adalah kebanyakan pelajar termaksuklah saya tidak tahu tentang gelaran dan panggilan yang disandang oleh pensyarah. Sememangnya, saya mengakui bahawa perbuatan saya amat mengecewakan tetapi realitinya, saya takut kesilapan panggilan yang saya guna mungkin menyebabkan pensyarah marah dan berkecil hati.
                Pensyarah yang mengajar kursus Pembangunan Modal Insan semester ini, pernah menyatakan bahawa Ketua Jabatan di fakulti saya bercadang untuk melancarkan suatu program yang dinamakan Program Berbudi Bahasa ( kalau tidak silap saya) tetapi yang pasti, program tersebut menuntut pelajar untuk membudayakan nilai positif dan berbudi bahasa semasa membuat urusan di fakulti. Bagi saya, wajarlah program tersebut dilaksanakan dan seboleh-bolehnya, ada juga program ramah mesra bersama pensyarah yang boleh mewujudkan persahabatan antara pelajar dan pensyarah sekali gus dapat menguraikan sedikit keregangan antara satu sama lain.
           Saya juga sedar bahawa saya juga bersalah kerana mengambil ringan dalam perkara sebegini. Sepatutnya, saya mengambil tahu juga tingkat akademik, gelaran dan senarai pensyarah yang berkhidmat di fakulti bahasa. Walaupun bukan berkata-kata, tetapi dengan memberi senyuman sudah memadai walaupun tidak mengenali pensyarah sebagai tanda hormat.

                

'Ko Lawan Saya'

          Lihat sahaja pernyataan di atas sudah tentu pembaca memikirkan bahawa pernyataan tersebut berunsurkan sesuatu tujuan yang negatif, dengan erti kata lain seperti berbaurkan pergaduhan. Tiada yang betul, dan tiada yang salah. Realitinya, pernyataan tersebut bergantung pada si pemakainya dan situasi penggunaannya sekaligus intonasi pelafazannya. Boleh jadi pernyataan tersebut digunakan oleh seseorang dalam pergaduhan, atau kemungkinan penutur yang bermaksudkan orang yang ditujunya adalah pesaingnya.
                Namun, untuk penulisan kali ini, saya mengutarakan tentang penggunaan kata ganti diri pertama, iaitu merujuk kepada orang itu sendiri yang bercakap. Dalam konteks penggunaan kata ganti nama diri ‘ko’ sedikit sebanyak menimbulkan sensitiviti kepada diri saya sendiri. Mungkin disebabkan saya seorang yang sensitif. Penggunaan kata ganti nama diri ‘ko’ banyak digunakan dan cukup sinonim dengan rakyat Sabah dalam komunikasi harian mereka. Dan tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan ‘ko’ sudah sebati dalam kehidupan mereka. Pada mulanya, saya beranggapan bahawa penggunaan ‘ko’ hanya diaplikasikan dalam drama-drama yang selalunya dibahasakan oleh remaja dan samseng.  Rupa-rupanya, ada yang mengaplikasikan penggunaan ‘ko’ dalam dunia realiti. Pertama sekali saya berkomunikasi dengan pelajar daripada Sabah ketika mula menuntut di UPSI.
                Saya berkenalan dengan seorang penuntut daripada Sabah. Jadi, kami saling berkenalan antara satu sama lain.
Ko orang mana?’
Saya orang Sarawak. Awak?
Sa sabah. Ko kos apa?
                
               Pada mulanya, saya terasa hati kerana pertanyaan kawan baru saya tersebut agak kasar bagi saya, gara-gara dia membahasakan orang lain dengan menggunakan ‘ko’. Saya menceritakan hal tersebut dengan kawan senegeri. Dia turut mengalami perasaan dan tanggapan yang sama. Namun, hakikatnya, sudah menjadi lumrah dan budaya mereka (orang Sabah) menggunakan ‘ko’ dalam komunikasi dan saya baru dapat menerima seadanya dan memahami budaya mereka setelah lama bergaul dengan mereka. Kadang kala, apabila saya memikirkan perkara tersebut, agak melucukan kerana bertanggapan sebegitu kepada mereka sedangkan penggunaan ‘ko’ tersebut sememangnya dari azali lagi penggunaanya dalam kehidupan mereka yang berbeza denganb budaya dan kehidupan saya di Sarawak. Ada kebenaran dalam pepatah Melayu mengatakan bahawa, lain belalang, lain padangnya, lain orang lain ragamnya. Janganlah kita mementingkan diri semata-mata, tanpa mengambil kira keadaan atau situasi sebenar orang lain yang berbeza bahasa dan budaya. Kita harus saling memahami dan berkompromi antara satu sama lain. Bahasa cerminan bangsa!

Sunday, January 23, 2011

Penggunaan Singkatan

Pada zaman serba moden ini, budaya menggunakan bahasa singkatan sememangnya sebati dalam pergaulan seharian, iaitu dalam konteks sosial dan komunikasi. Hasil daripada bahasa singkatan, mengundang kepada budaya khidmat pesanan ringkas atau short message service, ruangan perbualan atau chat seperti dalam Yahoo Messanger, Facebook, Twitter, dan banyak lagi laman sosial internet. Secara jujurnya saya mengakui bahawa saya juga tergolong dalam  golongan yang menggunakan bahasa singkatan dalam aktiviti sosial saya. Pernah suatu ketika saya tersalah faham dalam mentafsirkan makna singkatan. Hal ini berlaku ketika saya meluangkan masa dalam laman Facebook. Salah seorang pengguna Facebook, orang yang tidak dikenali, telah menegur saya dalam laman tersebut.  Dia menulis komen di ruangan laman saya dan kami saling berbalas komen. Dalam banyak-banyak komen, saya terkejut apabila ‘kawan baru’ saya itu menulis komen yang bertulis:
Jom sex
Sejurus saya membaca komen tersebut, saya berasa sangatlah marah kerana ‘kawan baru’ saya tersebut tegar menulis komen seumpama itu dan tidak menghormati saya. Tanpa berfikir panjang, saya memarahi ‘kawan baru’ saya  itu. ‘Kawan baru’ saya menjelaskan bahawa dia tidak bermaksudkan seperti yang saya tafsirkan. Setelah itu, barulah saya sedar bahawa saya terburu-buru menganalisis makna singkatan tersebut dan telah terlanjur menyerang kawan saya tanpa usul periksa. Rupa-rupanya komen tersebut tidaklah seperti yang saya fikirkan. Realitinya, saya telah menyalahtafsirkan makna perkatan tersebut.
                Jom sex bukan membawa makna melakukan perbuatan haram tetapi sebenarnya membawa maksud ‘jom se+X’..’X’ membawa pengertian kali. Jadi, jika imbuhan se digabungkan dengan ‘x’ yang mewakili kali, akan menjadi sekali ; sex.
                Sebaik-baiknya, gunalah singkatan yang tidak menimbulkan sebarang konotasi negatif, lebih-lebih lagi yang membawa makna bertindan seumpama situasi diatas agar mengelak daripada salah faham dan salah tafsir yang boleh mengundang impak negatif dalam konteks sosial, khususnya.


Saturday, January 15, 2011

Percubaan dalam Pemprosesan

Salam satu Malaysia,

Akhirnya, blog telah berjaya saya hasilkan. Saya telah mengambil masa selama 3 hari mencuba dan memproses blog saya ini bermula pada 13 Januari dan akhirnya siap dibina pada hari ini. Hakikatnya, saya agak keberatan membina blog kerana bertanggapan blog perlu diperbaharui isi kandungannya saban masa mahupun saban hari. Namun, secara profesional, aku membinanya atas dasar akademik, iaitu bagi kursus BML 3073 Sosiolinguistik Melayu pada semester ini, merangkap salah satu tugasan individu yang diamanahkan oleh pensyarah saya. Di dalam blog ini, saya akan menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu baku, memandangkan saya juga merupakan bakal guru bahasa Melayu. Saya berharap saya dapat melaksanakan tugasan saya sebaik-baiknya dan memperoleh nilai tambah daripada pembinaan blog ini. Sekalung penghargaaan diucapkan kepada kawan-kawan yang berkongsi idea dan pengalaman sepanjang pembinaan blog saya. Jasa kalian dikenang. Selamat berblog.

Sekian.