Siapa Yang Mengikutku?

Sunday, January 23, 2011

Penggunaan Singkatan

Pada zaman serba moden ini, budaya menggunakan bahasa singkatan sememangnya sebati dalam pergaulan seharian, iaitu dalam konteks sosial dan komunikasi. Hasil daripada bahasa singkatan, mengundang kepada budaya khidmat pesanan ringkas atau short message service, ruangan perbualan atau chat seperti dalam Yahoo Messanger, Facebook, Twitter, dan banyak lagi laman sosial internet. Secara jujurnya saya mengakui bahawa saya juga tergolong dalam  golongan yang menggunakan bahasa singkatan dalam aktiviti sosial saya. Pernah suatu ketika saya tersalah faham dalam mentafsirkan makna singkatan. Hal ini berlaku ketika saya meluangkan masa dalam laman Facebook. Salah seorang pengguna Facebook, orang yang tidak dikenali, telah menegur saya dalam laman tersebut.  Dia menulis komen di ruangan laman saya dan kami saling berbalas komen. Dalam banyak-banyak komen, saya terkejut apabila ‘kawan baru’ saya itu menulis komen yang bertulis:
Jom sex
Sejurus saya membaca komen tersebut, saya berasa sangatlah marah kerana ‘kawan baru’ saya tersebut tegar menulis komen seumpama itu dan tidak menghormati saya. Tanpa berfikir panjang, saya memarahi ‘kawan baru’ saya  itu. ‘Kawan baru’ saya menjelaskan bahawa dia tidak bermaksudkan seperti yang saya tafsirkan. Setelah itu, barulah saya sedar bahawa saya terburu-buru menganalisis makna singkatan tersebut dan telah terlanjur menyerang kawan saya tanpa usul periksa. Rupa-rupanya komen tersebut tidaklah seperti yang saya fikirkan. Realitinya, saya telah menyalahtafsirkan makna perkatan tersebut.
                Jom sex bukan membawa makna melakukan perbuatan haram tetapi sebenarnya membawa maksud ‘jom se+X’..’X’ membawa pengertian kali. Jadi, jika imbuhan se digabungkan dengan ‘x’ yang mewakili kali, akan menjadi sekali ; sex.
                Sebaik-baiknya, gunalah singkatan yang tidak menimbulkan sebarang konotasi negatif, lebih-lebih lagi yang membawa makna bertindan seumpama situasi diatas agar mengelak daripada salah faham dan salah tafsir yang boleh mengundang impak negatif dalam konteks sosial, khususnya.