Siapa Yang Mengikutku?

Saturday, March 19, 2011

Kerancunan Bahasa

Saya kerap juga menonton berita bahasa Melayu televisyen Malaysia untuk mengikuti perkembangan ehwal semasa. Namun saya dapati ada suatu keganjilan apabila kata-kata atau istilah khas dan terjemahan dituturkan. Misalnya, saya hairan mengapa apabila istilah-istilah atau kata nama khas disebut, ia tidak diterjemahkan sepenuhnya ke bahasa Melayu. Sebagai contoh apabila ia melibatkan angka, maka angka tersebut akan diucapkan dalam bahasa Inggeris. Misalnya Airbus A380 disebut Airbus three-eight-zero, bukan Airbus tiga-lapan-kosong/sifar. Atau Flu H1N1 disebut Flu H-one-N-one, tidak pula Flu H-satu-N-satu. Ini setakat dua contoh sahaja, malah ada banyak lagi. Yang menghairankan saya ialah apakah kaedah terjemahan bahasa yang digunakan editor/pengarang yang menetapkan kata-kata khas harus kekal disebut seperti dalam bahasa asalnya. Jika itulah halnya, apakah tidak kita harus kekalkan sebutan White House atau Buckingham Palace dan tidak menyebutnya sebagai Rumah Putih atau Istana Buckingham? Kalau alasan tidak boleh ubah sebutan seperti dari sumber asal, apakah kita tidak juga sebut Mercedes Benz S200 dalam bahasa Jerman dan Toyota L200 dalam bahasa Jepun ketika mengucapkan angka-angka dalam kata-kata tersebut? Saya rasa berita televisyen Malaysia boleh ambil iktibar dari media elektronik bahasa Melayu Singapura seperti radio dan tv yang menterjemahkan ungkapan-ungkapan yang saya contohkan di atas dalam bahasa Melayu ketika menyebutnya.

No comments:

Post a Comment